Friday, August 19, 2005

Kaya atau Kayap?

Kedengaran dari corong radio rakan pejabat saya akan nyayian Zainal Headwind ' Kita Serupa,Kita serupa....'. 'Ahh', tanpa sedari terkeluar keluhan suara hati saya di mulut. ' Serupa kaya atau kayap?'

Bulan Rejab tinggal beberapa hari sahaja lagi. Syaaban dan Ramadhan pula akan menyusul. Tahun ini akan berakhir dan tahun baru akan muncul. Masa pasti akan berlalu deras meninggalkan kita.. Hari Jumaat ke Jumaat sekarang ini terasa begitu pantas berlalu, sehingga terkadang kita tak sedar apa yang kita telah lakukan sepanjang satu minggu. Kemajuan kebendaan telah ada harta, kenderaan, pangkat dan wang ringgit. Syukur alhamdulillah, tapi ini hanya kemajuan yang berada di luar diri. Bagaimana pula dengan kemajuan batiniah atau yang ada didalam diri? 10 tahun dahulu bagaimana?. Kini bagaimana?10 tahun akan datang, jika sempat, bagaimana?. Nombor giliran dah diambil dan kita sedang dalam barisan menunggu nombor dipanggil. Cuma tak tau bila, yang pasti, akan dipanggil.

Mari kita tanya diri kita. 100 tahun yang lampau dimanakah kita? Jawapannya ialah, ‘Kita tiada’. Sekarang dimana? Sekarang, kita sedang berada di pejabat, membaca membaca artikel ini didepan skrin komputer. Bagaimana pula 100 tahun akan datang? Jika soalan ini ditanya kepada seseorang, katakan Pak Ali sipenjaga kubur, maka dia akan memberitahu tempat kita dengan menunjuk kearah dua batu nisan yang terpacak. Disitulah kesudahan hayat kita didunia ini.

Hari ini kita terima e-mail mengatakan

Kpd semua: Dukacita dimaklumkan bahawa Encik XXXXX dari Projek XXX telah meninggal dunia pagi ini di hospital XXXX. Semuga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya. Al-Fatihah. ‘.

Kita melihat berbagai orang saperti sahabat karib kita, rakan sepejabat kita, sanak-saudara kita dan lain-lain meninggal dunia. Esok hari mungkin orang lain akan menerima pemberitahuan saperti itu mengatakan yang kita telah meninggal dunia. Bak kata orang alim takkala anak adam meninggal, dunia akan berkata kepadanya ‘ Wahai anak Adam, kamu meninggalkan aku atau aku meninggalkan kamu. ’

Kalau kita seorang yang beriman dan redho dengan pemergian ini maka kita akan berkata, ‘Aku meninggalkan kamu ‘, sebaliknya jika tidak redho dan bersedia kita akan berkata, ‘ Kamu meninggalkan aku. ‘

Saya teringat sewaktu masih menuntut dahulu, ada keadaan tertentu dimana saya kurang membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan. Pada pagi harinya, sewaktu memasuki ke dewan peperiksaan hati saya telah menjadi tidak menentu. Perasaan bersalah dan menyesal menyelubungi diri dan saya menyumpah diri saya sendiri akan kesilapan ini. .Saya rasa mungkin ada dikalangan kita yang pernah mengalami peristiwa dan perasaan saperti ini.

Sekarang cuba kita bayangkan saat-saat akhir kita akan dijemput oleh malaikat maut. Pada ketika itu mungkin perasaan yang sama akan kita alami. Sekiranya kita telah buat persediaan, maka kita akan terima dengan tenang. Tapi bagaimana pula jika tidak bersedia? Maklumlah untuk meninggalkan semua benda yang kita miliki dan kasehi saperti alam yang indah ini, kehidupan yang bahagia bersama anak-isteri, kareer pekerjaan kita yang sangat berjaya dan sedang berada dikemuncak, harta-benda dan lain-lain lagi.

Ketika masih kecil, saya kerap bermain menyorok-nyorok dengan adik-beradik, satu ketika saya telah menyorok di bawah katil tidur. Tak sampai beberapa minit saya telah mengelupor kepanasan dan melompat keluar. Bayangkan jasad kita akan dimasukkan didalam liang lahat yang saiznya hanya 3 kaki lebar, 7 kaki panjang, 10 kaki dalam dan akan ditutup dengan tanah serta ditinggalkan oleh sanak keluarga di tempat yang asing,sunyi dan gelap bagi kita. Bukan beberapa minit atau beberapa jam tetapi kita akan tinggal disana sehinggalah ke hari kebangkitan semula. Disana, bila dahaga dimana kita mahu dapatkan air, panas dimana mahu cari kipas, dan kalau lapar dimana mau cari makanan.

Malaysia dan Amerika adalah dua negara yang berbeza. Rakyat Malaysia yang ingin memasuki Amerika memerlukan dua benda yakni paspot/visa dan matawang US. Sekiranya tiada paspot/visa maka kita tidak akan dibenarkan masuk, ditahan dan dihantar pulang. Begitu juga jika tiada matawang US, kita akan mendapat kesusahan, Ringgit Malaysia tiada nilai di sana walaupun untuk membeli sebutir kacang putih. Jadi mula-mula kita perlu ada wang dalam RM, dan kemudian barulah ditukar ke bentuk matawang US.

Begitu juga perumpamaan dunia dan akhirat. Ia adalah dua alam yang berbeza. Kita yang masih berada di dalam dunia ini pasti akan pergi ke alam akhirat dan untuk ini memerlukan kepada dua benda yakni iman dan amal soleh. Sekiranya tiada iman, saperti paspot tadi, maka kita tidak akan dibenarkan memasuki syurga. ‘Jadi nak pulang kemana ye?’ Yang pasti bukan ke dunia ini kerana tiada orang yang telah mati pulang kembali kedunia. Di sana ada dua tempat sahaja dan tiada tiga. Syurga atau neraka.

Manakala untuk keselesaan dan keselamatan di alam sana, matawang diperlukan. Di alam akhirat, matawang yang ada di dunia ini tidak laku sapertimana RM tidak laku di Amerika. Amalan-amalan agama yang kita lakukan didunia ini, jika ada, saperti solat, bacaan quran, zikir, amalan soleh yang akan ditukarkan ke matawang akhirat untuk mengecapi segala bentuk kemewahan di sana nanti. Sebagai contoh, jika bersolat sendirian kita akan dapat satu pahala, manakala jika dilakukan berjemaah dimasjid mendapat dua puloh tujoh kali ganda pahala. Setiap huruf ayat suci Al-Quran yang kita baca mendapat sepuloh kebaikan. Setiap zikir diucapkan akan tertanam pohon-pohon didalam kebun syurga dan bayaran bagi pembinaan mahligai-mahligai kita di sana. Amalan soleh yang kita lakukan sekarang didunia ini sebenarnya sedang dimasukkan kedalam tabung ‘ Amanah Saham Akhirat’ kita. Nampak macam tiada tapi sebenarnya ada. Untuk dunia kita semua faham bahawa kita harus bekerja keras dan bersungguh-sungguh untuk menikmati kemewahan. Bagaimana pula akhirat?.

Seorang pelajar yang gagal dalam peperiksaan sekolah, contohnya SPM, masih lagi berpeluang untuk mendapat kejayaan. Dia boleh mengulang peperiksaan, jika tidak di sekolah-sekolah kerajaan, mungkin di sekolah swasta. Sekiranya gagal lagi dia boleh bekerja sambil belajar. Siang hari bekerja dan pada malam hari boleh belajar. Dia boleh mengulang, bukan sekali malahan berkali-kali sehinggalah dia berjaya.

Tetapi tahukah kita bahawa kehidupan di dunia ini hanya sekali sahaja. Sekiranya kita gagal dalam menyempurnakan misi kehidupan ini sebagai seorang muslim atau beriman, Allah s.w.t tidak akan sediakan alam dunia yang lain untuk mengulang bagi kita mendapat kejayaan. Kalau kita berjaya maka kita akan berjaya selama-lamanya dan kalau gagal maka malanglah kita kerana kehidupan disana adalah selama-lamanya serta tiada akhirnya.

Islam menyediakan sebaik-baik jalan penyelesaian dan pengharapan. Bekalan iman dan amal perlu dibuat dan diusahakan semasa di dunia ini sahaja. Jangan kita leka dan tertipu. Islam tidak menyuruh umatnya meninggalkan terus urusan-urusan keduniaan dan menumpu hanya kepada akhirat. Tetapi bak kata pepatah melayu ‘sambil menyelam minumlah air’.

Misalannya air, air penting kepada perahu, tapi jangan sampai air masuk dalam perahu. Air penting supaya perahu boleh terus belayar. Tapi jika air sudah masuk dalam perahu, maka kita akan tenggelam dan tak boleh sampai kedestinasi.. Dunia penting tetapi jangan dia jadi saperti air yang menenggelamkan. Biarlah ia jadi seperti air yang membantu perahu belayar dan dapat membawa kita sampai kedestinasi akhir, yakni Syurga.

Sibuk macam-mana sekalipun bekerja, bila sakit perut akan ke tandas, bila mengantuk akan tidur, bila lapar akan pergi makan. Masakan tiada masa untuk bersolat dan mengingati Allah. Solat jangan sekali-kali ditinggalkan. Yang memisahkan antara diri kita dengan solat hanya mati. Sekian

0 Comments:

Post a Comment

<< Home