Tuesday, May 10, 2005

Seruan Buat Pendosa Melayu

Apa yang telah kau lakukan, wahai Pendosa Melayu?
Kau telah tak mengenali dirimu sendiri
Kau bukan Kristian, bukan Yahudi, tapi apakah kau Muslim?
Apakah kau makhluk planet asing yang belum didatangi kitab Allah?
Atau pekak,buta dan biul dari berita gembira dan ancaman Nabi kami?

Apa yang telah kau lakukan, wahai Pendosa Melayu?
Dadah, arak, judi, sumbang muhrim , khalwat dan zina
Bayi berpusat mati di jemuran, kotoran, belukar dan sungai
Dosa dan maksiat menyelimuti diri, amalan soleh terbang lari
Kegelapan amalan menanggis menerpa Ilahi, azab bencana menujah bumi

Apa yang telah kau lakukan, wahai Pendosa Melayu?
Kerana kau binatang dan tumbuhan menyumpahi
Balak yang diseru hampir mencecah bumi
Menunggu masa menghempap kami
Setan kau Pendosa Melayu

Apa yang telah kau lakukan, wahai Pendosa Melayu?
Saban hari amalanmu dijeling penduduk langit
Jijik dan meloyakan mereka yang tulus dan suci
Kebusukan mana lagi yang tidak kau tebari
Hinggakan gunong, langit dan bumi memalingkan muka dan diri

Apa yang telah kau lakukan, wahai Pendosa Melayu?
Gunong mula memuntahkan isi, langit hampir runtuh dan bumi terbelah luas
Ketika lautan berlari jauh meninggalkan mu dan pantai
Ombak Tsunami menderum mampir membawa kemusnahan
Sekilas, ribuan terlentang kaku memandang lautan, langit dan masjid kami

Apa yang telah kau lakukan, wahai Pendosa Melayu?
Hampir-hampir Israfil ingkar akan perintah Tuhannya
Untuk meniupkan sangkakala sebelum tiba waktunya.
Ketika menggelegak nafsu mazmumahmu
Julangan api neraka hampir mencair dindingnya membolosi kebumi

Apa yang telah kau lakukan, wahai Pendosa Melayu?
Keberanianmu mengingkari perintah Tuhan mengkagumkan Iblis
Menjadikan syurga gelisah, ketakutan dan berdiam diri
Malaikat sujud dan tersungkur ketakutan di Baitul Makmur
Mudahan-mudahan menyejuk kemurkaan Tuhan kami

Apa yang telah kau lakukan, wahai Pendosa Melayu?
Bagaimana takdirmu di alam sana
Apakah kau kaum yang memenuhi dilubang jahanam itu?
Atau kaum yang berjalan di muka bukan di kaki?
Atau kaum yang meminum nanah dan memakan buah zaqum berduri?

Apa yang telah kau lakukan, wahai Pendosa Melayu?
Dari hujung rambut ke hujung kaki bercerita sesama sendiri
Menjadi saksi akan kerosakan yang kau lakukan tempoh hari
Diberi Allah kuasa berbicara di Hari Agama
Mudah-mudahan kau membaca ini
Apa yang mesti kau lakukan sekarang, wahai Pendosa Melayu?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home